Tuesday, September 17, 2013

GENGSTERISME

ADAKAH anda seorang gengster ?
Adakah kita ahli mana-mana 'geng'di sekolah kita ?
Kali ini, KPJS mengutarakan satu isu yang hangat di pasaran`GENGSTERISME'
Golongan remaja dapat didefinisikan sebagai satu golongan peralihan iaitu peralihan dari segi sikap, fizikal, mental, emosi, rohani dan jasmani daripada golongan atau alam kanak-kanak ke alam dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan umur 13 hingga 20 tahun dan termasuklah semua pelajar.
Atas hakikat inilah, maka sesetengah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup kanak-kanak dan sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal ini mengakibatkan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan ­negara dan akhirnya munculah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial.
PUNCA
1. Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca utama masalah ini datangnya daripada masalah kekeluargaan. Kajian mendapati hampir 70% remaja yang terlibat dalam masalah ini terdiri daripada keluarga yang porak peranda. Remaja terbabit merasakan bahawa mereka sudah kehilangan tempat untuk mengadu segala masalah dan malu untuk menghadapi masyarakat.
2. Dalam proses memajukan negara, kita disogokkan dengan pelbagai rancangan dan artikel yang kurang bermutu dari Barat yang bertentangan ­dengan ajaran agama dan budaya kita. Rancangan dari Barat menonjolka­n ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan naluri mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.
3. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca utama berlakunya masalah gengsterisme dalam kalangan remaja. Hal ini kerana rakan adalah ­pengaruh terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang. Remaja seharusnya menjauhkan diri daripada rakan yang bersikap negatif kerara dalam usia yang meningkat naik, remaja perlu dapat menilai antara yang baik dengan yang buruk.
Remaja tidak akan melakukan jenayah sekiranya wujud kesedaran bahawa kegiatan tersebut menyalahi undang-undang negara atau peraturan sekolah, melangcar batas agama dan budaya bangsa remaja itu sendiri. Selain kurangnya kesedaran, remaja masa kini juga terlalu cetek dari segi didikan rohani dan jasmani.
HUKUMAN ATAU TINDAKAN:
1. Hukuman atau tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan terhadap remaja yang melakukan jenayah. Contohnya, Kes bunuh Muhammad Farid Ibrahim, seorang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan Seremban Negeri Sembilan, yang dibelasah hingga mati. Hukuman yang dikenakan ialah dihadapkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi serta didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman mati.
2. Kita merujuk kepada peraturan sekolah kita pula: Berdasarkan Buku Peraturan Sekolah pindaan 2003, Perkara 26 tindakan ke atas pelajar yang terlibat dengan kes-kes 'gengsterisme' seperti bergaduh, mengugut, memukul, melepak dan sebagainya boleh digantung atau dibuang sekolah serta merta dan akan dikenakan sebatan rotan.
Sebenarnya terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang masalah gengsterisme dalam kalangan remaja. Semua masalah ini akan berakhir jika semua pihak bersatu­padu, tidak kiralah sama ada ibu bapa, pihak sekolah, pihak kerajaan, masyarakat sekeliling ataupun remaja itu sendiri.
KPJS mengingatkan diri kami sendiri dan juga rakan-rakan sekalian, janganlah pula kita jadikan alasan bahawa jika kita mempunyai masalah keluarga atau institusi kekeluargaan di rumah tidak kukuh, kita sewenang-wenangnya membabitkan diri ke arah budaya yang tidak bermoral ini.
Janganlah pula, apabila ibu bapa kurang memberikan perhatian, kita jumps 'geng' kita. Kalau 'geng' yang kita jumpa itu baik, sering menasihati kita atau boleh berkongsi masalah dengan kita, kita selamat. Tetapi, kalau 'geng' itu sendiri 'membatu api' atau mengajak kita melakukan sesuatu yang negatif untuk melupakan masalah kita, saya rasa kita amat-amat rugi.
Satu lagi pesanan KPJS, adalah lebih baik kita menubuhkan 'geng perbincangan' atau 'study group' daripada kita menubuhkan 'geng-geng yang melampau' yang amat merugikan dan suka membuang masa, seperti suka membuli, suka menganggu, suka lepak dan banyak lagi.
Saya ingin bertanya kepada kita semua, ada berapa banyak 'study group' atau `kumpulan-kumpulan perbincangan' yang ada di sekolah kita ini? Saya rasa kita boleh hitung dengan jari.
Rakan-rakan semua, kita anak-anak bangsa yang bakal meneraju negara Malaysia yang tercinta.
Fikirlah, bukalah mata, jangan sekali-kali kita asyik terleka,
Jangan asyik dibuai mimpi,
zaman remaja hanya sekali, sekiranya tersilap langkah, kita yang akan merana
SEKIAN DAN TERIMA KASIH.
MENGAPA KITA TIDAK HARUS PONTENG KE SEKOLAH?

Kita sudah sedia maklum, sekolah merupakan institusi sosial paling penting kerana sekolah ialah tempat kita dididik dengan ilmu pengetahuan serta diterap dengan disiplin dan nilai-nilai murni. Oleh itu, saya amat yakin dan saya mengangap bahawa sekolah kita merupakan salah sebuah pusat latihan yang memberikan pendidikan kepada para pelajar agar bersedia menghadapi cabaran hidup danseterusnya mampu memimpin diri sendiri serta generasi akan datang.
Tidak dinafikan bahawa sekolah merupakan tempat kita menimba ilmu pengetahuan serta menerima pendidikan secara formal dan segala aspek yang berkaitan. Tanpa bimbingan dan pengajaran yang sewajarnya, saya yakin, kita tidak akan ke mana-­mana. Kita tidak akan dapat mengikuti arus pemodenan negara pada masa ini.
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Di sekolah, guru ialah individu yang paling bertanggungjawab terhadap pendidikan yang diberikan kepada kita. Mereka terlatih dan profesional dalam pendidikan segala ilmu yang diajarkan dapat membuka minda kita untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Penerapan nilai-nilai positif dan disiplin yang tegas pula dapat membentuk imej dan keperibadian seseorang pelajar. Ilmu yang dipelajari di sekolah merupakan benteng yang boleh menghalang kita daripada terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan kita. Di samping itu, kegiatan KoKurikulum yang dijalankan di sekolah dapat membentuk dan mencungkil bakatkepimpinan seseorang pelajar yang berpengetahuan dan berwawasan tetapi dapat memberikan daya kekuatan untuk menangkis segala kegiatan jenayah .
Bayangkanlah kita ponteng sekolah hari ini,
Sudah tentu kita akan ketinggalan satu-satu formula atau topik yang diajarkan setiap mata pelajaran. Jika pada hari ini ada 5 subjek yang diajarkan, kita sudah mengalami kerugian 5 subjek. Kalau setiap guru memberikan kerja rumah dan sudah mengalami kerugian 5 kerja rumah dan sudah tentu kita tidak dapat menyelesaikan tugasan atau kerja rumah yang diberikan. Keesokan harinya pula guru pasti akan memeriksa kerja rumah yang diberikan, dan sudah pastinya akan menerima hukuman. Bayangkan kalau kita ponteng berhari-hari. Sudah tentu kerugian dan masalah yang banyak akan kita alami.
Oleh itu, janganlah ponteng jika tidak ada sebab-sebab yang terlalu penting seperti sakit atau sebagainya. Jika kita tidak pernah ponteng sekolah, sudah tentu kita dapat menguasai sesuatu topik atau bab yang diajarkan oleh guru dengan baik. Apabila kita dapat menguasai mata pelajaran itu dengan baik, kita boleh menjawab soalan dengan mudah. Dan bila kita boleh menjawab soalan dengan mudah, saya amat yakin, kita mampu lulus dengan cemerlang dalam ujian atau peperiksaan. Bahkan bukan itu saja, di sekolah juga kita diterapkan dengan nilai­nilai murni yang menjadikan kita sebagai seorang pelajar yang cemerlang disiplin dan cemerlang akhlak. Bukankah itu sesuatu yang membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa kita.
Ingatlah, jika sering ponteng, kita amat terdedah kepada banyak gejala sosial yang negatif di luar sana. Mula-mula melepak. Apabila melepak cuba mengganggu orang, merokok, menghidu gam, mengambil syabu dan menagih dadah. Tidak cukup dengan itu, kita mengugut, membuli, kemudian membelasah orang. Tidak puas lagi, kita terjebak dalam kegiatan hina seperti mencuri. menyamun, meragut , merompak dan seterusnya mungkin membunuh.
Adakah ini matlamat hidup kita? Adakah ini sikap seorang yang terpelajar? Adakah ini yang diharapkan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat kita? Adakah kita rela untuk hidup tanpa hala tuju, jadi penganggur ukur jalan sana, sini? Bolehkah kita, 'Menuju Ke Arah Kegemilangan Yang Menyeluruh' seperti yang termaktub dalam Falsafah Sekolah, jika kita sering saja ponteng sekolah ? Adakah kita ? Bolehkah kita ? atau Mampukah kita ?.Tanyalah diri kita kerana kita penentu segala-galanyanya.
BAGAIMANA ELAK RAGUT ?