Tuesday, September 17, 2013

GENGSTERISME

ADAKAH anda seorang gengster ?
Adakah kita ahli mana-mana 'geng'di sekolah kita ?
Kali ini, KPJS mengutarakan satu isu yang hangat di pasaran`GENGSTERISME'
Golongan remaja dapat didefinisikan sebagai satu golongan peralihan iaitu peralihan dari segi sikap, fizikal, mental, emosi, rohani dan jasmani daripada golongan atau alam kanak-kanak ke alam dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan umur 13 hingga 20 tahun dan termasuklah semua pelajar.
Atas hakikat inilah, maka sesetengah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup kanak-kanak dan sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal ini mengakibatkan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan ­negara dan akhirnya munculah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial.
PUNCA
1. Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca utama masalah ini datangnya daripada masalah kekeluargaan. Kajian mendapati hampir 70% remaja yang terlibat dalam masalah ini terdiri daripada keluarga yang porak peranda. Remaja terbabit merasakan bahawa mereka sudah kehilangan tempat untuk mengadu segala masalah dan malu untuk menghadapi masyarakat.
2. Dalam proses memajukan negara, kita disogokkan dengan pelbagai rancangan dan artikel yang kurang bermutu dari Barat yang bertentangan ­dengan ajaran agama dan budaya kita. Rancangan dari Barat menonjolka­n ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan naluri mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.
3. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca utama berlakunya masalah gengsterisme dalam kalangan remaja. Hal ini kerana rakan adalah ­pengaruh terbesar yang boleh mengubah pendirian seseorang. Remaja seharusnya menjauhkan diri daripada rakan yang bersikap negatif kerara dalam usia yang meningkat naik, remaja perlu dapat menilai antara yang baik dengan yang buruk.
Remaja tidak akan melakukan jenayah sekiranya wujud kesedaran bahawa kegiatan tersebut menyalahi undang-undang negara atau peraturan sekolah, melangcar batas agama dan budaya bangsa remaja itu sendiri. Selain kurangnya kesedaran, remaja masa kini juga terlalu cetek dari segi didikan rohani dan jasmani.
HUKUMAN ATAU TINDAKAN:
1. Hukuman atau tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan terhadap remaja yang melakukan jenayah. Contohnya, Kes bunuh Muhammad Farid Ibrahim, seorang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan Seremban Negeri Sembilan, yang dibelasah hingga mati. Hukuman yang dikenakan ialah dihadapkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi serta didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman mati.
2. Kita merujuk kepada peraturan sekolah kita pula: Berdasarkan Buku Peraturan Sekolah pindaan 2003, Perkara 26 tindakan ke atas pelajar yang terlibat dengan kes-kes 'gengsterisme' seperti bergaduh, mengugut, memukul, melepak dan sebagainya boleh digantung atau dibuang sekolah serta merta dan akan dikenakan sebatan rotan.
Sebenarnya terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang masalah gengsterisme dalam kalangan remaja. Semua masalah ini akan berakhir jika semua pihak bersatu­padu, tidak kiralah sama ada ibu bapa, pihak sekolah, pihak kerajaan, masyarakat sekeliling ataupun remaja itu sendiri.
KPJS mengingatkan diri kami sendiri dan juga rakan-rakan sekalian, janganlah pula kita jadikan alasan bahawa jika kita mempunyai masalah keluarga atau institusi kekeluargaan di rumah tidak kukuh, kita sewenang-wenangnya membabitkan diri ke arah budaya yang tidak bermoral ini.
Janganlah pula, apabila ibu bapa kurang memberikan perhatian, kita jumps 'geng' kita. Kalau 'geng' yang kita jumpa itu baik, sering menasihati kita atau boleh berkongsi masalah dengan kita, kita selamat. Tetapi, kalau 'geng' itu sendiri 'membatu api' atau mengajak kita melakukan sesuatu yang negatif untuk melupakan masalah kita, saya rasa kita amat-amat rugi.
Satu lagi pesanan KPJS, adalah lebih baik kita menubuhkan 'geng perbincangan' atau 'study group' daripada kita menubuhkan 'geng-geng yang melampau' yang amat merugikan dan suka membuang masa, seperti suka membuli, suka menganggu, suka lepak dan banyak lagi.
Saya ingin bertanya kepada kita semua, ada berapa banyak 'study group' atau `kumpulan-kumpulan perbincangan' yang ada di sekolah kita ini? Saya rasa kita boleh hitung dengan jari.
Rakan-rakan semua, kita anak-anak bangsa yang bakal meneraju negara Malaysia yang tercinta.
Fikirlah, bukalah mata, jangan sekali-kali kita asyik terleka,
Jangan asyik dibuai mimpi,
zaman remaja hanya sekali, sekiranya tersilap langkah, kita yang akan merana
SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

No comments:

Post a Comment